なみかふなばし

なみかふなばし
I could spend my whole life just staring into the night sky

Monday 10 October 2016

Aku, Dia dan Epal 2

 Terasa berdebar hati Adila tatkala membuka bungkusan tersebut. Kotak yang berwarna kuning dan putih itu terasa misteri benar pada Adila. Sebaik sahaja melihat isi di dalam kotak itu, Adila menjerit keriangan.
“Sarah Adila! Kenapa jerit-jerit ni?!”
“Takde apa Bu. Dila nampak lipas je tadi. Besar!”
“Ada-ada je Dila ni.”
Adila tidak membalas. Dia lebih teruja apabila melihat isi di dalam kotak yang baru diterimanya. Sebakul epal hijau yang diterimanya terasa seperti baru memenangi cabutan bertuah. Kalau dia tahu siapa yang menghantar epal tersebut, pasti dipeluk cium orang itu. Ketika dia mengeluarkan bakul tersebut, Adila perasan akan sehelai kertas yang diselitkan di antara epal-epal itu. Dia mengeluarkan kertas tersebut lalu membacanya.
“Assalamualaikum. Kau cakap kau suka epal. Jadi terimalah epal yang tak seberapa ni. Aku harap suatu hari nanti kita berpeluang bertemu empat mata. Aku teringin sangat nak jumpa kau.
                                                                                                                    Ikhlas: Zaid Badri Bin Zamir Fadli.”
Sebaik sahaja mengetahui siapa pengirim epal tersebut. Adila menarik balik hasratnya untuk memeluk cium pengirimnya. Terasa kembang tekak bila bayangkan dia berpeluk dengan Zaid. Patutlah Zaid beria benar ingin mengetahui alamatnya tempoh hari. Dia pantas mencapai telefon pintarnya.
You are such a jerk! Ada ke pikat aku guna epal?”
Surprise!. Kau suka?”
“Memanglah suka tapi kenapa bagi banyak sangat?”
“Kalau kau nak selori pun aku boleh bagi. Suruh beli ladang epal tu pun boleh.”
“Ya Allah Zaid. Tak payahlah buat macam ni. Kita bukan ada hubungan apa-apa pun.”
“Sebab itulah aku nak kita ada hubungan. Please Adelle.”
Adila merasa bersalah. Tidak dinafikan, hatinya telah lama cair terhadap seorang lelaki yang bernama Zaid Badri. Tetapi, dia tidak sanggup membelakangkan hukum agama. Tambahan pula, dia perlu menumpukan perhatiannya terhadap pelajaran. Dia anak sulung. Dialah harapan keluarga. Adik-adiknya yang ramai perlu disuap.
“Maaf. Aku tak boleh terima kau.”
Kelihatan Zaid sedang menaip sesuatu. Adila pantas menutup telefon pintarnya. Bakul epal yang berada di tepi ditolak jauh.

“Hai sayang!”
“Kau dah kenapa?”
“Eleh, kalau suka cakap je lah.”
Oh please. No way.”
“Aku nak tanya satu soalan boleh?”
“Apa dia?”
“Kau sayang aku?”
“Aku ingatkan apalah tadi.”
“Jawablah.”
“Taknak.”
“Jawablah.”
“Taknak.”
Please. Kalau kau taknak jawab, maknanya kau sayang akulah kan? Kan? Siapa yang tak sayang aku yang kachak lagi chomel ni kan?”
Adila menarik nafas sedalam mungkin. Zaid benar-benar menguji kesabarannya. Sebelum Zaid melalut lebih jauh lagi, lebih baik dia jawab sahaja pertanyaan Zaid.
“Zaid, sebelum kau masuk bakul angkat sendiri tinggi-tinggi lagi, baik kau dengar dulu jawapan aku. Bukan apa, aku takut nanti kalau dah tinggi sangat nanti jatuh berkecai macam tembikai pulak. Sebenarnya, aku sayang kau… sebagai kawan je. Kahkahkah.”
“Ceh! Kenapa susah sangat aku nak buat kau suka kat aku ni?”
“Sebab aku pakai ilmu pendinding. Mana boleh Senang-senang je nak suka kat orang. Dibuatnya kau tu pembunuh bersiri ke, ah long ke, tak ke naya aku nanti? Hahaha.”
“Kau rasa aku termasuk dalam golongan tu ke?”
“Entahlah. Tapi tak mustahil.”
“Kejamnya kau. Sampai hati kau fikir aku macam tu? Macam nilah kawan kan? Aku nak merajuklah macam ni.”
“Eleh, pergilah merajuk sana. Aku tak kisah pun. Nanti kau yang cari aku balik.”
Okay fine. Bye.”
Terbahak-bahak Adila ketawa. Nama sahaja lelaki, tetapi kuat merajuk. Buat malu kaum lelaki sahaja. Adila yakin, esok pasti Zaid akan menghantar mesej kepada dia lagi. Sudah banyak kali Zaid merajuk, esoknya pasti Zaid akan mencari Adila semula. Adila sudah masak dengan perangai Zaid yang satu itu. Dasar attention seeker.

Petang itu, Adila tidak mempunyai apa-apa aktiviti. Dia memutuskan untuk menonton filem Jepun yang dia telah muat turun ke komputer ribanya sebelum ini. Ketika sedang leka menonton, kedengaran lagu Loveless nyanyian Tomohisa Yamashita berkumandang daripada telefonnya menandakan ada mesej baharu yang diterimanya.
“Hai Adelle.”
“Dah habis merajuk?”
“Kenapa? Nak aku merajuk lagi ke?”
“Pergilah kalau nak.”
“Taknaklah. Aku nak sembang dengan kau. Rindu.”
“Eleh, mengada-ngada.”
“Apa salahnya mengada-ngada dengan orang yang aku sayang?”
See? Kau ni, aku ni bukannya lawa pun. Banyak lagi perempuan lain yang lagi lawa daripada aku. Pergilah suka orang lain.”
“Taknaklah.”
“Kenapa pulak?”
“Sebab dorang takde apa yang kau ada.”
Nonsense. Okeylah. Bye.”
“Alah. Tunggulah.”
“Aku busylah.”
“Aku minta maaf okey. Tunggulah.”
“Maaf diterima. Tapi aku ada banyak kerja ni.”
Okay fine. Bye.
“Assalamualaikum.”
“Wa’alaikumussalam.”
Telefon pintarnya ditutup. Adila tersenyum sendirian. Masih terbayang-bayang perbualannya bersama Zaid tadi. Zaid betul-betul menyenangkannya. “Astaghfirullah. Zina hati ni Dila… berhenti fikir pasal dia! Dia bukannya muhrim kau.” Lekas-lekas Adila menyedarkan diri. Adila menoleh ke dinding biliknya, sebakul pakaian yang perlu dilipatnya direnung lesu. “Ya Allah malasnya…” Adila mengeluh. Dengan berat hati Adila mula melipat pakaian.
Azan Maghrib mula berkumandang. Adila segera menghabiskan melipat pakaian yang tinggal sehelai dua lagi. Dia mahu segera menyelesaikan tugasnya. Takut terlambat menunaikan kewajipannya terhadap Allah. Selesai menunaikan solat, Adila memutuskan untuk membaca surah Yassin untuk disedekahkan kepada arwah atuknya. Esok merupakan tarikh pemergian atuknya ke rahmatullah yang ke sebelas. Semakin hari, rindunya terhadap arwah atuknya kian menebal.
Selesai sahaja membaca surah Yassin, azan Isyak berkumandang. Adila terus menunaikan solat Isyak. Ketika sedang melipat telekungnya, telefon pintarnya berbunyi. Ikutkan hatinya, terasa malas hendak melayan sesiapa. Hatinya terasa sayu. Bila memikirkan mesej yang diterima itu mungkin sesuatu yang penting, dia memaksa diri untuk membuka mesej itu.
“Hai Adelle. Sibuk ke?”
“Tak. Tapi aku takde mood nak chat.”
“Kenapa? Kau okey ke?”
Nothing. Aku okey.”
“Kalau kau ada masalah bagitahu jelah.”
“Takde apa. Aku rindu arwah atuk aku je.”
Air mata Adila mula berjuraian.
Do you want me to cheer you up?
“Cubalah kalau boleh.”
“Pada zaman dahulu, ada seorang penternak yang sangat kaya. Penternak itu menternak pelbagai haiwan ternakan. Seperti lembu, kambing dan ayam. Semua haiwan ternakannya sangat menyayangi tuan mereka kerana kebaikannya. Suatu hari, peladang tersebut tiba-tiba menghilangkan diri. Si lembu yang terlalu rindu akan tuannya berasa sangat sedih. Si kambing pun menegur, “kenapa dengan kau, Lembu?” lalu si lembu pun menjawab, “aku terlalu rindukan tuan kita.” Si kambing mengangguk. “Ya. Aku juga rindukan tuan kita. Entah di manalah dia sekarang.” Mendengarkan kata-kata si kambing, si lembu tersebut berasa bertambah sedih lalu terus berkata, “sebenarnya aku tau di mana dia sekarang.” Si kambing terkejut, “di mana?!” “Tuan kitalah yang sedang membaca perbualan kita sekarang ni.” Kata lembu.”
“hahahahaha… dan kau lembu tu? Hahaha.”
“yang ni tak lawak.”
“Yalah. Aku minta maaf. Terima kasih sebab hiburkan aku walaupun part yang lawaknya tu cuma part aku fikir yang kau lembunya. Hahaha.”
My pleasure.
Perbualan mereka berlanjutan sehingga lewat malam.  Ada sahaja perkara lucu yang diberitahu Zaid sehingga membuat Adila tergelak sendirian. Adila juga tidak risau dimarahi ibunya kerana dia yakin ibunya sudah tidur memandangkan sudah lewat malam.

Hubungan Adila dan Zaid yang sudah semakin rapat sudah diketahui ahli kumpulan Facebook yang disertai mereka. Rata-rata daripada mereka suka mengusik keintiman hubungan mereka walaupun tidak bercouple.
“Sarah Adila. Berhati-hati dengan Zaid Badri.”
Mesej yang diterima daripada seorang gadis yang bernama Rasya mengundang tanda tanya Adila. Memang Adila pernah mendengar beberapa desas-desus tentang Zaid Badri daripada rakan-rakannya yang lain. Tetapi Adila yakin Zaid sudah berubah. Nalurinya kuat mengatakan Zaid yang dia kenal adalah Zaid yang baharu, bukan lagi Zaid yang lama.
Walaupun Adila memilih untuk mengabaikan mesej itu, dia tetap lebih berhati-hati dengan Zaid. Ketika Adila sedang berchatting dengan rakannya yang sudah berpindah sekolah, Zaid telah menghantar mesej kepada Adila.
“Assalamualaikum, Adelle. Ada sesuatu yang aku nak bagitau kau. Aku minta maaf sebab rahsiakan benda ni daripada kau. Sebenarnya aku ada kanser paru-paru. Keadaan aku sekarang dah teruk.”
“Astaghfirullah. Kau serius ke?”
“Adelle, takkanlah aku nak main benda macam ni?”
“Ya Allah… tahap berapa dah?”
“Tahap 3.”
Terasa luruh hati Adila. Sudah berulang kali dia menasihatkan Zaid untuk berhenti merokok. Tetapi dia degil. Bagaikan tidak percaya, dia bertanya lebih kepada Zaid.
“Tipu. Send gambar ubat kau.”
Satu gambar ubat-ubatan dihantar kepada Adila. Adila tidak percaya. Dia terfikir, mungkin itu gambar yang diambil Zaid dari dalam internet.
“Aku tak percaya. Zoom kat nama kau.”
Pelbagai alasan diberi Zaid. Adila dapat mengesan sesuatu yang tidak kena. Kerana malas hendak bertekak, Adila membiarkan Zaid tanpa membalas debat yang berlangsung tadi. Adila mematikan komputer ribanya seraya menukar posisi baringnya. Siling yang putih itu direnung kosong. Sukar untuk dia menghadam kata-kata Zaid. Segalanya terasa begitu mengejut bagi Adila.

Adila bagaikan cacing kepanasan. Apa yang dibuatnya terasa serba tidak kena. Ada sesuatu yang betul-betul mengganggu fikirannya. Orang yang ditunggu-tunggu masih belum online. Adila resah. Sudah dua hari Zaid tidak online. Dia sudah bertanya kepada beberapa rakan karib Zaid tetapi hampa, tiada siapa tahu di mana Zaid. Dia terfikir, mungkin Zaid tidak menipu tentang penyakitnya. Adila terasa menyesal kerana meragui Zaid. Namun dia tetap dapat merasakan seperti ada sesuatu yang disembunyikan oleh Zaid.
Adila melihat jam di dinding, 2.33 pagi. Dia pantas mengambil wuduk untuk menunaikan solat sunat hajat. Dia ingin memohon agar dapat mengetahui perkara sebenar. Dia semakin keliru dengan semua perkara yang berlaku. Siapa Zaid sebenarnya?
Esoknya, sesuatu yang telah lama dinantikan Adila akhirnya terjadi. Zaid online! Tuhan sahaja tahu betapa gembiranya perasaan dia ketika itu. Malangnya, kegembiraan itu tidak bertahan lama.
“Kenapa lama tak online?”
“Dah habis data. Hehe.”
“Okay.”
“Adelle?”
“Ya.”
“Aku minta maaf.”
Reason?
“Aku tipu kau. Aku takde kanser pun sebenarnya. Kawan-kawan aku ada bagitau yang kau cari aku. Aku tak tahu pula kau risau sampai macam ni sekali.”
Adila tidak mampu memberikan sebarang respon. Marah, sedih, kecewa, semuanya bercampur baur.
“Adelle, aku minta maaf.”
Not that easy bro.”
Balas Adila lalu terus log out Facebooknya. Dia menghabiskan harinya dengan termenung. Terasa sistem otaknya ketika itu berbelit seperti gumpalan benang. Dia tidak tahu apa yang perlu dilakukannya.

Dalam kedinginan pagi, Adila terdengar azan Subuh sedang berkumandang. Dia pantas bangun seraya mencapai tualanya. Kakinya terasa berat benar hendak ke bilik air. Adila terfikir, mungkin ketika ini ada ahli keluarganya yang lain sedang menggunakan bilik air. Memikirkan kemungkinan dia terpaksa berebut bilik air, Adila kembali melabuhkan punggungnya ke atas katil. Ketika jam penggera telefonnya berbunyi, pantas Adila mencapai telefon pintarnya untuk mematikan jam penggera tersebut. Aplikasi Messenger dibuka. Ada beberapa mesej daripada beberapa group chat yang disertainya. Kesemuanya tidak berjaya menarik minat Adila. Dia juga menerima beberapa mesej daripada Zaid tetapi turut diabaikan. Sudah beberapa hari Adila menyepikan diri daripada Zaid. Amarahnya masih belum reda. Mana tidaknya, kanser bukanlah suatu penyakit yang boleh dibuat main. Telefon pintarnya dimatikan. Dia pantas mengatur langkah menuju ke bilik air.
Setelah selesai mandi dan solat subuh, Adila termenung di jendela biliknya. Dingin pagi yang menyapa pipi Adila terasa menenangkan. Dingin pagi itu sedingin hatinya terhadap Zaid. Susah benar rasanya hendak memaafkan Zaid. Tidak pernah Adila berasa semarah ini. Hatta semasa adiknya menumpahkan air di atas lukisannya dulu pun api kemarahannya tidak seteruk ini. Mengapa? Adila terfikir, mungkin sudah tiba masanya untuk dia memaafkan Zaid. Hendak berdendam pun tidak guna.
Setelah memaafkan Zaid, hubungan mereka pulih seperti sedia kala. Tiada lagi sisa kemarahan dalam hati Adila. Disangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Adila perasan tentang perubahan sikap Zaid. Zaid tidak lagi menegurnya setiap hari seperti kebiasaannya. Zaid juga tidak semesra dulu. Adila cuba menyiasat perkara sebenar. Akhirnya Adila tahu, Zaid sudah menjumpai pengganti. Patut sahaja hati Adila berasa berat untuk menerima tawaran Zaid dahulu. Rupanya Zaid masih tidak berubah. Masih tetap dengan perangainya itu.
Tidak dapat digambarkan perasaan Adila ketika itu. Apa yang pasti, dia kecewa. Bila difikirkan semula, Adila tidak berasa terlalu kecewa kerana mereka tidak mempunyai apa-apa hubungan. Tetapi perasaan sayangnya terhadap Zaid terlalu sukar untuk dikikis. Terasa perasaannya seperti dipermainkan. Tetapi Adila juga lega, setidaknya dia berjaya menahan nafsu remajanya daripada bercouple. Sudah beberapa kali dia hampir tewas. Dalam diam, Adila berdoa agar Zaid bakal menerima nasib yang sama sepertinya. Dia bukan hendak berdendam, tetapi dia mahu Zaid mendapat pengajarannya.

EPILOG

“Assalamualaikum. Aku nak minta maaf lepas apa yang aku buat dekat kau dulu. Aku dapat rasa masa tu kau sebenarnya dah mula sayang kat aku. Aku jugak tahu yang hati kau hancur masa tu. Aku minta maaf. Aku dah dapat kifarah aku. Aku dah rasa apa yang kau rasa. Sekali lagi aku minta maaf.”
Adila langsung tidak menyangka akan menerima mesej itu. Dia juga tidak menyangka doanya dahulu termakbul. Perkara itu sudah lama dia lupakan. Senyuman diukir. Pantas Adila menaip.
“Wa’alaikumussalam. Alhamdulillah kau dah sedar. Aku harap lepas ni kau tak ulang lagi perbuatan kau ni. Aku maafkan kau.”
Adila tersenyum apabila teringat kejadian tersebut. Jam ditangannya dipandang sekilas. Sudah 15 minit dia menunggu di bawah terik mentari, dia menyeka peluh di dahi. Kelibat yang ditunggu-tunggu tetap belum muncul. Air Milo yang dibeli tadi pun sudah tinggal separuh. Tudungnya yang sudah sedikit senget dibetulkan. Cermin matanya yang sudah melorot ke bawah juga dinaikkan semula. Matanya ligat memerhatikan gelagat puluhan manusia di sekelilingnya.
“Assalamualaikum. Sarah Adila binti Badrul?”
Adila menoleh. Seorang lelaki yang tinggi berdiri disebelahnya sambil menjinjing sebuah beg plastik yang kelihatan sarat. Dia terpaksa mendongak untuk melihat wajah lelaki tersebut.
“Wa’alaikumussalam. Zaid Badri bin Zamir Fadli?”
Yup! Akhirnya dapat jugak jumpa kau. Dah lama aku teringin nak jumpa kau. Tapi…”
“Tapi apa?”
“Tapi kenapa dalam gambar kau nampak tinggi?” kata Zaid seraya ketawa berdekah-dekah.
“Weh kejamnya kau! Baru jumpa dah kutuk aku.” Cawan Milo yang masih berada di tangan terasa mahu sahaja dicampak ke muka Zaid. Nasib baik Adila masih mampu berfikiran waras.
“Ya lah, yalah. Aku minta maaf. Nah epal. Aku lambat sebab pergi beli epal ni lah tadi.” Adila berpaling ke arah lain. Muncungnya sudah setebal 5 inci.
“Nak ke taknak? Kalau taknak aku ambik bawa balik? Tengah panas ni sedap buat jus epal.” pantas Adila berpaling seraya merampas plastik epal dari tangan Zaid.
“Terima kasih.” Ucap Adila separuh terpaksa.
“Sama-sama. Nak rupanya. Tadi ingatkan taknak.” Usik Zaid.
Kini, Adila dan Zaid sama-sama bakal menuntut di universiti yang sama di Perak. Zaid juga sudah berubah. Dia tidak lagi merokok dan mempermainkan hati perempuan. Setelah 4 tahun menjalin persahabatan di alam maya, mereka akhirnya berpeluang untuk berjumpa. Sengaja Adila memilih untuk bertemu di hadapan Menara Condong itu bagi memudahkan mereka berdua yang masih baru dengan persekitaran Perak.
Siapa tahu, pertemuan mereka telah membawa hubungan mereka ke tahap yang seterusnya. Pada tahun terakhir mereka menuntut di universiti, mereka telah mengikat tali pertunangan. Mereka akhirnya di ijabkabulkan setelah setahun bertunang.

TAMAT

No comments:

Post a Comment