なみかふなばし

なみかふなばし
I could spend my whole life just staring into the night sky

Tuesday 6 November 2018

Tiada Ganti


Biha berjalan perlahan menuruni anak tangga yang sudah rapuh itu, opahnya yang sedang menonton televisyen diruang tamu didekati tanpa sedikit bunyi pun.

“Haaa buat apa tu? Sampai bagi salam pun tak.” Tegur Opah tiba-tiba. Belum sempat dia menyerang hendap opahnya.

“Alaaa… Biha baru nak surprise opah. Hehe.” Kata Biha sambil tersengih tatkala surprisenya tak kesampaian. Pantas sahaja tangannya menyalami tangan tua itu. Rindunya sudah tidak terkira. Sudah lama dia dan keluarga tidak berpeluang melawat opahnya itu.

” Opah, Opah masak apa hari ni? Biha rindu nak makan masakan Opah. Kitorang kan dah lama sangat tak jumpa Opah” Opah tersenyum melihat gelagat cucu sulungnya itu.

“Biha nak makan apa? Opah tak sempat masak lagi ni. Tu lah, nak surprise sangatkan.”

“Biha tak kisah sebab Opah masak semua sedap. Dapat ayam goreng pun dah happy sangat hehe.”


Biha tersenyum sendirian mengingat masa lalu. Lamunannya terhenti apabila jururawat tiba-tiba memintanya untuk keluar sebentar untuk rutin rawatan opahnya. Sedih rasanya setiap kali teringat saat-saat opahnya masih kuat dan sihat. Lain benar Opah yang sekarang. Kurus, cengkung, anak cucunya juga sudah tak semua masih dalam ingatan. Seringkali paksunya dating melawat, setiap kali itu juga Opah tidak mengingati anaknya sendiri. Opah juga tidak lagi mampu menguruskan diri. Sedih. Sebak. Takut. Seribu satu perasaan sering bermain dalam benak fikiran.

Malam menjelang, wad 5A masih meriah dengan pesakit dan keluarga yang sedang berbuka puasa dan bersembang. Opah seperti biasa, hanya terdiam lalu diselang­-seli aduan sakit disana sini. Makanan di biar sebentar, pantas sahaja tangannya mengurut di mana perlu. Secebis senyuman terpaksa diukir walau sepahit hempedu.

Waktu berlalu, sudah tiba masanya untuk tidur. Biha, yang sudah menjadi kebiasaannya untuk tidur lewat, hanya duduk disisi katil Opah sambal bermain dengan telefon pintarnya. Sedang asyik bermain, Opah mula merengek sakit. Telefonnya pantas diletak ke tepi lalu mencari minyak panas yang diberi Ibu semalam. Dia mula mengurut. Setelah reda rengekan Opah, Biha mencapai semula telefon pintarnya lalu membuka surah Yassin untuk dibaca. Tidak sampai membaca empat ayat, opahnya sudah mula merengek semula. Beberapa kali juga bacaannya terhenti dek kerana rengekan opahnya.

Tidak lama kemudian, entah kenapa Opah memanggilnya. Bila ditanya mengapa, Opah hanya menggelengkan kepala. Dalam kegelapan malam, Opah menarik tangan Biha lalu digenggam kemas. Tidak lama, Opah meminta Biha supaya baring disisi. Biha hanya menurut. Air matanya mula berjurai tatkala Opah memeluknya. Imannya betul-betul diuji malam itu. Seribu satu fikiran negatif yang bermain dalam fikiran sebaik mungkin ditepis keluar.

Sepanjang hujung minggunya kini digunakan untuk menemani opahnya di hospital. Hari ni dia terpaksa pulang ke rumah untuk ke sekolah esok. Berat sungguh hatinya untuk meninggalkan Opah dalam keadaan begitu. Untung sahaja Ampang ke Klang tidak jauh. boleh juga mereka sekeluarga ulang alik sekiranya berlaku kecemasan.

Selang beberapa hari kemudian, Khamis 11pm. Biha baru sahaja pulang dari kelas tambahan apabila ibu memerima panggilan daripada paksu. Opah sudah tenat! Pantas Biha berlari masuk ke rumah, mencapai apa yang sempat lalu bergegas ke dalam kereta semula. Kolam matanya hampir sahaja memuntahkan isinya namun ditahan juga. Sepanjang perjalanan, Biha sungguh tidak mampu berhenti berdoa yang terbaik untuk Opah. Cebisan-cebisan memori mula berlayar dalam fikiran. Ayah, hanya focus memandu. Ibu sudah tidak mampu berkata apa lagi. Adik-adiknya yang masih tidak mengerti apa yang berlaku sudah lama dibuai mimpi.

45 minit berlalu, mereka tiba di hospital. Suasana wad kelihatan begitu suram. Katil yang menempatkan Opah sudah ditutupi tirai. Yang hanya kedengaran cuma mesin-mesin hospital dan suara doctor dan jururawat yang bertugas. Biha tak kuat, perlahan kakinya melangkah menuju ke tingkap untuk menyembunyikan tangisnya yang sudah lama ditahan. Dia tidak mahu menunjukkan air mata itu kepada ibu dan adik-adik Ibu.

Masa berlalu, doctor dan jururawat akhirnya keluar dari tirai yang menutupi katil Opah.

” Maaf, setakat ini sahaja yang mampu saya bantu. Sebaiknya, sudah tiba masa untuk kita melepaskan beliau pergi.” Doctor berlalu untuk memberikan Biha sekeluarga untuk menghabiskan saat-saat terakhir Opah disisi. Biha melangkah perlahan ke dalam tirai. Sungguh terasa berat langkahnya tika itu. Kaki Opah disentuh perlahan. Sejuk. Laju sahaja dia mencapai tangan Opah yang masih bersisa rasa suam. Doa dan selawat tidak putus dibibir. Air matanya jatuh sebanyak mungkin. Dari genggaman itu, sungguh jelas rasanya bila rasa suam di tangan Opah perlahan-lahan menghilang.

Innalillahiwainnailaihirajiun. Daripada Allah kita datang, kepada Allah kita kembali. Opah pergi meninggalkan Biha sekeluarga pada malam Jumaat, 2.30 pagi, pada 10 malam terakhir Ramadhan. Sungguh Opah beruntung, pergi di hari mulia pada bulan yang mulia.

Sebulan berlalu setelah pemergian Opah. Biha masih lagi bersedih apatah lagi dengan peperiksaan percubaan SPM yang semakin hampir. Hidupnya tidak keruan, jiwanya terasa kosong, hidupnya terasa sepi. Dia terasa tidak kuat, tidak kuat untuk menghadapi hidup tanpa Opah. Hidupnya seolah menanggung beban yang tak tertanggung beratnya. Tiada lagi Opah yang memberinya kata semangat setiap kali peperiksaan, tiada lagi tempat mengadu.

Mahu atau tidak, hidup terpaksa diteruskan. Sekolah tetap dihadiri dengan jiwa yang kosong. Keputusannya? Keputusan peperiksaan jatuh mendadak. Cikgu disekolah mulai risau memandangkan peperiksaan SPM sudah hampir. Ketika itu juga, Biha tersedar, keputusan itu, bukanlah apa yang dikehendaki Opah. Sekiranya itu keputusannya untuk SPM nanti, sia-sia lah doa arwah Opah ketika beliau masih hidup, sia-sia lah segala usaha yang dibuat oleh Opah.

Biha mengutip semula cebisan kekuatan satu demi satu. Dia mula belajar semula. Apabila dia mula terasa penatnya belajar tanpa ada tempat mengadu, terngiang-ngiang semula kata-kata arwah Opah di dalam kotak fikirannya.

” Biha belajar rajin-rajin ya? Penat Ibu Ayah cari rezeki untuk bagi Biha makan dan belajar. Nanti Biha dah kerja, Biha pula tolong Ibu Ayah besarkan adik-adik.”


Note: I’m truly sorry that I couldn’t finish this story properly because I got emotional in the middle of the story. I’ll find some time soon to finish this up in a very proper way. For your information, this story is dedicated for my grandma who passed away on 10 July 2015. I grew up attached to her so I kind of feel lost when she was gone. I couldn’t do anything to pay her back for now, so I wrote this one specially to tribute and as a memento about us. I hope you enjoy reading my short story even though my writing isn’t as good as before anymore because I no longer have much time to write. Thank you.