“Sarah Adila! Kenapa jerit-jerit ni?!”
“Takde apa Bu. Dila nampak lipas je tadi. Besar!”
“Ada-ada je Dila ni.”
Adila tidak membalas. Dia lebih teruja apabila melihat isi di
dalam kotak yang baru diterimanya. Sebakul epal hijau yang diterimanya terasa seperti
baru memenangi cabutan bertuah. Kalau dia tahu siapa yang menghantar epal
tersebut, pasti dipeluk cium orang itu. Ketika dia mengeluarkan bakul tersebut,
Adila perasan akan sehelai kertas yang diselitkan di antara epal-epal itu. Dia
mengeluarkan kertas tersebut lalu membacanya.
“Assalamualaikum. Kau cakap
kau suka epal. Jadi terimalah epal yang tak seberapa ni. Aku harap suatu hari
nanti kita berpeluang bertemu empat mata. Aku teringin sangat nak jumpa kau.
Ikhlas: Zaid Badri Bin Zamir
Fadli.”
Sebaik sahaja mengetahui siapa pengirim epal tersebut. Adila
menarik balik hasratnya untuk memeluk cium pengirimnya. Terasa kembang tekak
bila bayangkan dia berpeluk dengan Zaid. Patutlah Zaid beria benar ingin
mengetahui alamatnya tempoh hari. Dia pantas mencapai telefon pintarnya.
“You are such a jerk! Ada ke
pikat aku guna epal?”
“Surprise!. Kau suka?”
“Memanglah suka tapi kenapa bagi
banyak sangat?”
“Kalau kau nak selori pun aku boleh
bagi. Suruh beli ladang epal tu pun boleh.”
“Ya Allah Zaid. Tak payahlah buat
macam ni. Kita bukan ada hubungan apa-apa pun.”
“Sebab itulah aku nak kita ada
hubungan. Please Adelle.”
Adila merasa bersalah. Tidak dinafikan, hatinya telah lama
cair terhadap seorang lelaki yang bernama Zaid Badri. Tetapi, dia tidak sanggup
membelakangkan hukum agama. Tambahan pula, dia perlu menumpukan perhatiannya
terhadap pelajaran. Dia anak sulung. Dialah harapan keluarga. Adik-adiknya yang
ramai perlu disuap.
“Maaf. Aku tak boleh terima kau.”
Kelihatan Zaid sedang menaip sesuatu. Adila pantas menutup
telefon pintarnya. Bakul epal yang berada di tepi ditolak jauh.
“Hai sayang!”
“Kau dah kenapa?”
“Eleh, kalau suka cakap je lah.”
“Oh please. No way.”
“Aku nak tanya satu soalan boleh?”
“Apa dia?”
“Kau sayang aku?”
“Aku ingatkan apalah tadi.”
“Jawablah.”
“Taknak.”
“Jawablah.”
“Taknak.”
“Please. Kalau kau taknak jawab, maknanya kau sayang
akulah kan? Kan? Siapa yang tak sayang aku yang kachak lagi chomel ni kan?”
Adila
menarik nafas sedalam mungkin. Zaid benar-benar menguji kesabarannya. Sebelum
Zaid melalut lebih jauh lagi, lebih baik dia jawab sahaja pertanyaan Zaid.
“Zaid, sebelum kau masuk bakul angkat sendiri tinggi-tinggi
lagi, baik kau dengar dulu jawapan aku. Bukan apa, aku takut nanti kalau dah
tinggi sangat nanti jatuh berkecai macam tembikai pulak. Sebenarnya, aku sayang
kau… sebagai kawan je. Kahkahkah.”
“Ceh! Kenapa susah sangat aku nak buat kau suka kat aku ni?”
“Sebab aku pakai ilmu pendinding. Mana boleh Senang-senang je
nak suka kat orang. Dibuatnya kau tu pembunuh bersiri ke, ah long ke, tak ke
naya aku nanti? Hahaha.”
“Kau rasa aku termasuk dalam golongan tu ke?”
“Entahlah. Tapi tak mustahil.”
“Kejamnya kau. Sampai hati kau fikir aku macam tu? Macam nilah
kawan kan? Aku nak merajuklah macam ni.”
“Eleh, pergilah merajuk sana. Aku tak kisah pun. Nanti kau yang
cari aku balik.”
“Okay fine. Bye.”
Terbahak-bahak Adila ketawa. Nama sahaja lelaki, tetapi kuat
merajuk. Buat malu kaum lelaki sahaja. Adila yakin, esok pasti Zaid akan
menghantar mesej kepada dia lagi. Sudah banyak kali Zaid merajuk, esoknya pasti
Zaid akan mencari Adila semula. Adila sudah masak dengan perangai Zaid yang
satu itu. Dasar attention seeker.
Petang itu,
Adila tidak mempunyai apa-apa aktiviti. Dia memutuskan untuk menonton filem
Jepun yang dia telah muat turun ke komputer ribanya sebelum ini. Ketika sedang
leka menonton, kedengaran lagu Loveless nyanyian Tomohisa Yamashita
berkumandang daripada telefonnya menandakan ada mesej baharu yang diterimanya.
“Hai Adelle.”
“Dah habis merajuk?”
“Kenapa? Nak aku merajuk lagi ke?”
“Pergilah kalau nak.”
“Taknaklah. Aku nak sembang dengan kau. Rindu.”
“Eleh, mengada-ngada.”
“Apa salahnya mengada-ngada dengan orang yang aku sayang?”
“See? Kau ni, aku ni bukannya lawa pun. Banyak lagi
perempuan lain yang lagi lawa daripada aku. Pergilah suka orang lain.”
“Taknaklah.”
“Kenapa pulak?”
“Sebab dorang takde apa yang kau ada.”
“Nonsense. Okeylah. Bye.”
“Alah. Tunggulah.”
“Aku busylah.”
“Aku minta maaf okey. Tunggulah.”
“Maaf diterima. Tapi aku ada banyak kerja ni.”
“Okay fine. Bye.”
“Assalamualaikum.”
“Wa’alaikumussalam.”
Telefon
pintarnya ditutup. Adila tersenyum sendirian. Masih terbayang-bayang
perbualannya bersama Zaid tadi. Zaid betul-betul menyenangkannya.
“Astaghfirullah. Zina hati ni Dila… berhenti fikir pasal dia! Dia bukannya
muhrim kau.” Lekas-lekas Adila menyedarkan diri. Adila menoleh ke dinding
biliknya, sebakul pakaian yang perlu dilipatnya direnung lesu. “Ya Allah
malasnya…” Adila mengeluh. Dengan berat hati Adila mula melipat pakaian.
Azan
Maghrib mula berkumandang. Adila segera menghabiskan melipat pakaian yang
tinggal sehelai dua lagi. Dia mahu segera menyelesaikan tugasnya. Takut
terlambat menunaikan kewajipannya terhadap Allah. Selesai menunaikan solat,
Adila memutuskan untuk membaca surah Yassin untuk disedekahkan kepada arwah
atuknya. Esok merupakan tarikh pemergian atuknya ke rahmatullah yang ke
sebelas. Semakin hari, rindunya terhadap arwah atuknya kian menebal.
Selesai
sahaja membaca surah Yassin, azan Isyak berkumandang. Adila terus menunaikan
solat Isyak. Ketika sedang melipat telekungnya, telefon pintarnya berbunyi.
Ikutkan hatinya, terasa malas hendak melayan sesiapa. Hatinya terasa sayu. Bila
memikirkan mesej yang diterima itu mungkin sesuatu yang penting, dia memaksa
diri untuk membuka mesej itu.
“Hai Adelle. Sibuk ke?”
“Tak. Tapi aku takde mood nak chat.”
“Kenapa? Kau okey ke?”
“Nothing. Aku okey.”
“Kalau kau ada masalah bagitahu jelah.”
“Takde apa. Aku rindu arwah atuk aku je.”
Air mata
Adila mula berjuraian.
“Do you want me to cheer you up?”
“Cubalah kalau boleh.”
“Pada zaman dahulu, ada seorang penternak yang sangat kaya.
Penternak itu menternak pelbagai haiwan ternakan. Seperti lembu, kambing dan
ayam. Semua haiwan ternakannya sangat menyayangi tuan mereka kerana
kebaikannya. Suatu hari, peladang tersebut tiba-tiba menghilangkan diri. Si
lembu yang terlalu rindu akan tuannya berasa sangat sedih. Si kambing pun
menegur, “kenapa dengan kau, Lembu?” lalu si lembu pun menjawab, “aku terlalu
rindukan tuan kita.” Si kambing mengangguk. “Ya. Aku juga rindukan tuan kita.
Entah di manalah dia sekarang.” Mendengarkan kata-kata si kambing, si lembu
tersebut berasa bertambah sedih lalu terus berkata, “sebenarnya aku tau di mana
dia sekarang.” Si kambing terkejut, “di mana?!” “Tuan kitalah yang sedang
membaca perbualan kita sekarang ni.” Kata lembu.”
“hahahahaha… dan kau lembu tu? Hahaha.”
“yang ni tak lawak.”
“Yalah. Aku minta maaf. Terima kasih sebab hiburkan aku walaupun
part yang lawaknya tu cuma part aku fikir yang kau lembunya.
Hahaha.”
“My pleasure.”
Perbualan mereka berlanjutan sehingga lewat malam. Ada sahaja perkara lucu yang diberitahu Zaid
sehingga membuat Adila tergelak sendirian. Adila juga tidak risau dimarahi
ibunya kerana dia yakin ibunya sudah tidur memandangkan sudah lewat malam.
Hubungan Adila
dan Zaid yang sudah semakin rapat sudah diketahui ahli kumpulan Facebook yang
disertai mereka. Rata-rata daripada mereka suka mengusik keintiman hubungan
mereka walaupun tidak bercouple.
“Sarah Adila. Berhati-hati dengan Zaid Badri.”
Mesej yang
diterima daripada seorang gadis yang bernama Rasya mengundang tanda tanya
Adila. Memang Adila pernah mendengar beberapa desas-desus tentang Zaid Badri
daripada rakan-rakannya yang lain. Tetapi Adila yakin Zaid sudah berubah.
Nalurinya kuat mengatakan Zaid yang dia kenal adalah Zaid yang baharu, bukan
lagi Zaid yang lama.
Walaupun
Adila memilih untuk mengabaikan mesej itu, dia tetap lebih berhati-hati dengan
Zaid. Ketika Adila sedang berchatting dengan rakannya yang sudah
berpindah sekolah, Zaid telah menghantar mesej kepada Adila.
“Assalamualaikum, Adelle. Ada sesuatu yang aku nak bagitau kau.
Aku minta maaf sebab rahsiakan benda ni daripada kau. Sebenarnya aku ada kanser
paru-paru. Keadaan aku sekarang dah teruk.”
“Astaghfirullah. Kau serius ke?”
“Adelle, takkanlah aku nak main benda macam ni?”
“Ya Allah… tahap berapa dah?”
“Tahap 3.”
Terasa
luruh hati Adila. Sudah berulang kali dia menasihatkan Zaid untuk berhenti
merokok. Tetapi dia degil. Bagaikan tidak percaya, dia bertanya lebih kepada
Zaid.
“Tipu. Send gambar ubat kau.”
Satu gambar
ubat-ubatan dihantar kepada Adila. Adila tidak percaya. Dia terfikir, mungkin
itu gambar yang diambil Zaid dari dalam internet.
“Aku tak percaya. Zoom kat nama kau.”
Pelbagai alasan diberi Zaid. Adila dapat mengesan sesuatu
yang tidak kena. Kerana malas hendak bertekak, Adila membiarkan Zaid tanpa
membalas debat yang berlangsung tadi. Adila mematikan komputer ribanya seraya
menukar posisi baringnya. Siling yang putih itu direnung kosong. Sukar untuk
dia menghadam kata-kata Zaid. Segalanya terasa begitu mengejut bagi Adila.
Adila
bagaikan cacing kepanasan. Apa yang dibuatnya terasa serba tidak kena. Ada
sesuatu yang betul-betul mengganggu fikirannya. Orang yang ditunggu-tunggu
masih belum online. Adila resah. Sudah dua hari Zaid tidak online.
Dia sudah bertanya kepada beberapa rakan karib Zaid tetapi hampa, tiada siapa
tahu di mana Zaid. Dia terfikir, mungkin Zaid tidak menipu tentang penyakitnya.
Adila terasa menyesal kerana meragui Zaid. Namun dia tetap dapat merasakan
seperti ada sesuatu yang disembunyikan oleh Zaid.
Adila
melihat jam di dinding, 2.33 pagi. Dia pantas mengambil wuduk untuk menunaikan
solat sunat hajat. Dia ingin memohon agar dapat mengetahui perkara sebenar. Dia
semakin keliru dengan semua perkara yang berlaku. Siapa Zaid sebenarnya?
Esoknya,
sesuatu yang telah lama dinantikan Adila akhirnya terjadi. Zaid online!
Tuhan sahaja tahu betapa gembiranya perasaan dia ketika itu. Malangnya,
kegembiraan itu tidak bertahan lama.
“Kenapa lama tak online?”
“Dah habis data. Hehe.”
“Okay.”
“Adelle?”
“Ya.”
“Aku minta maaf.”
“Reason?”
“Aku tipu kau. Aku takde kanser pun sebenarnya. Kawan-kawan aku
ada bagitau yang kau cari aku. Aku tak tahu pula kau risau sampai macam ni
sekali.”
Adila tidak
mampu memberikan sebarang respon. Marah, sedih, kecewa, semuanya bercampur
baur.
“Adelle, aku minta maaf.”
“Not that easy bro.”
Balas Adila lalu terus log out Facebooknya. Dia
menghabiskan harinya dengan termenung. Terasa sistem otaknya ketika itu
berbelit seperti gumpalan benang. Dia tidak tahu apa yang perlu dilakukannya.
Dalam
kedinginan pagi, Adila terdengar azan Subuh sedang berkumandang. Dia pantas
bangun seraya mencapai tualanya. Kakinya terasa berat benar hendak ke bilik
air. Adila terfikir, mungkin ketika ini ada ahli keluarganya yang lain sedang
menggunakan bilik air. Memikirkan kemungkinan dia terpaksa berebut bilik air,
Adila kembali melabuhkan punggungnya ke atas katil. Ketika jam penggera
telefonnya berbunyi, pantas Adila mencapai telefon pintarnya untuk mematikan
jam penggera tersebut. Aplikasi Messenger dibuka. Ada beberapa mesej
daripada beberapa group chat yang disertainya. Kesemuanya tidak berjaya
menarik minat Adila. Dia juga menerima beberapa mesej daripada Zaid tetapi
turut diabaikan. Sudah beberapa hari Adila menyepikan diri daripada Zaid.
Amarahnya masih belum reda. Mana tidaknya, kanser bukanlah suatu penyakit yang
boleh dibuat main. Telefon pintarnya dimatikan. Dia pantas mengatur langkah
menuju ke bilik air.
Setelah
selesai mandi dan solat subuh, Adila termenung di jendela biliknya. Dingin pagi
yang menyapa pipi Adila terasa menenangkan. Dingin pagi itu sedingin hatinya
terhadap Zaid. Susah benar rasanya hendak memaafkan Zaid. Tidak pernah Adila
berasa semarah ini. Hatta semasa adiknya menumpahkan air di atas lukisannya dulu
pun api kemarahannya tidak seteruk ini. Mengapa? Adila terfikir, mungkin sudah
tiba masanya untuk dia memaafkan Zaid. Hendak berdendam pun tidak guna.
Setelah
memaafkan Zaid, hubungan mereka pulih seperti sedia kala. Tiada lagi sisa
kemarahan dalam hati Adila. Disangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan
di tengah hari. Adila perasan tentang perubahan sikap Zaid. Zaid tidak lagi
menegurnya setiap hari seperti kebiasaannya. Zaid juga tidak semesra dulu.
Adila cuba menyiasat perkara sebenar. Akhirnya Adila tahu, Zaid sudah menjumpai
pengganti. Patut sahaja hati Adila berasa berat untuk menerima tawaran Zaid
dahulu. Rupanya Zaid masih tidak berubah. Masih tetap dengan perangainya itu.
Tidak dapat
digambarkan perasaan Adila ketika itu. Apa yang pasti, dia kecewa. Bila
difikirkan semula, Adila tidak berasa terlalu kecewa kerana mereka tidak
mempunyai apa-apa hubungan. Tetapi perasaan sayangnya terhadap Zaid terlalu
sukar untuk dikikis. Terasa perasaannya seperti dipermainkan. Tetapi Adila juga
lega, setidaknya dia berjaya menahan nafsu remajanya daripada bercouple.
Sudah beberapa kali dia hampir tewas. Dalam diam, Adila berdoa agar Zaid bakal
menerima nasib yang sama sepertinya. Dia bukan hendak berdendam, tetapi dia
mahu Zaid mendapat pengajarannya.
EPILOG
“Assalamualaikum. Aku nak minta maaf lepas apa yang aku buat
dekat kau dulu. Aku dapat rasa masa tu kau sebenarnya dah mula sayang kat aku.
Aku jugak tahu yang hati kau hancur masa tu. Aku minta maaf. Aku dah dapat
kifarah aku. Aku dah rasa apa yang kau rasa. Sekali lagi aku minta maaf.”
Adila
langsung tidak menyangka akan menerima mesej itu. Dia juga tidak menyangka
doanya dahulu termakbul. Perkara itu sudah lama dia lupakan. Senyuman diukir.
Pantas Adila menaip.
“Wa’alaikumussalam. Alhamdulillah kau dah sedar. Aku harap lepas
ni kau tak ulang lagi perbuatan kau ni. Aku maafkan kau.”
Adila
tersenyum apabila teringat kejadian tersebut. Jam ditangannya dipandang
sekilas. Sudah 15 minit dia menunggu di bawah terik mentari, dia menyeka peluh
di dahi. Kelibat yang ditunggu-tunggu tetap belum muncul. Air Milo yang dibeli
tadi pun sudah tinggal separuh. Tudungnya yang sudah sedikit senget dibetulkan.
Cermin matanya yang sudah melorot ke bawah juga dinaikkan semula. Matanya ligat
memerhatikan gelagat puluhan manusia di sekelilingnya.
“Assalamualaikum.
Sarah Adila binti Badrul?”
Adila
menoleh. Seorang lelaki yang tinggi berdiri disebelahnya sambil menjinjing
sebuah beg plastik yang kelihatan sarat. Dia terpaksa mendongak untuk melihat
wajah lelaki tersebut.
“Wa’alaikumussalam.
Zaid Badri bin Zamir Fadli?”
“Yup! Akhirnya
dapat jugak jumpa kau. Dah lama aku teringin nak jumpa kau. Tapi…”
“Tapi apa?”
“Tapi
kenapa dalam gambar kau nampak tinggi?” kata Zaid seraya ketawa berdekah-dekah.
“Weh
kejamnya kau! Baru jumpa dah kutuk aku.” Cawan Milo yang masih berada di tangan
terasa mahu sahaja dicampak ke muka Zaid. Nasib baik Adila masih mampu
berfikiran waras.
“Ya lah,
yalah. Aku minta maaf. Nah epal. Aku lambat sebab pergi beli epal ni lah tadi.”
Adila berpaling ke arah lain. Muncungnya sudah setebal 5 inci.
“Nak ke
taknak? Kalau taknak aku ambik bawa balik? Tengah panas ni sedap buat jus
epal.” pantas Adila berpaling seraya merampas plastik epal dari tangan Zaid.
“Terima
kasih.” Ucap Adila separuh terpaksa.
“Sama-sama.
Nak rupanya. Tadi ingatkan taknak.” Usik Zaid.
Kini, Adila
dan Zaid sama-sama bakal menuntut di universiti yang sama di Perak. Zaid juga
sudah berubah. Dia tidak lagi merokok dan mempermainkan hati perempuan. Setelah
4 tahun menjalin persahabatan di alam maya, mereka akhirnya berpeluang untuk
berjumpa. Sengaja Adila memilih untuk bertemu di hadapan Menara Condong itu
bagi memudahkan mereka berdua yang masih baru dengan persekitaran Perak.
Siapa tahu,
pertemuan mereka telah membawa hubungan mereka ke tahap yang seterusnya. Pada
tahun terakhir mereka menuntut di universiti, mereka telah mengikat tali
pertunangan. Mereka akhirnya di ijabkabulkan setelah setahun bertunang.
… TAMAT …